Sunday, July 3, 2016

McDonald's sasar restoran bertambah 50% - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Julai - Restoran makanan segera terkenal di Malaysia, McDonald's merancang me­ngembangkan peluang francais sekitar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan cawangannya di negara ini menjelang 2020.

McDonald's Malaysia berkata, langkah itu dalam masa sama akan dapat menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada peng­usaha-pengusaha tempatan.

"Pada masa ini lebih 70 buah restoran McDonald's di Malaysia dimiliki dan diusahakan oleh kira-kira 30 orang francaisi yang kesemuanya terdiri daripada warga tempatan.

"Para francaisi bukan merupakan kakitangan Golden Arches Restaurants Sdn. Bhd., tetapi usa­hawan tempatan yang juga majikan kepada pekerja di restoran yang difrancaiskan kepada mereka," jelas McDonalds menerusi risalah yang diterbitkannya.

Setakat ini, terdapat sekitar 270 buah restoran McDonald's di seluruh Malaysia dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 500 buah pada masa akan datang yang bakal mewujudkan lebih 11,500 peluang pekerjaan baharu.

"Sebanyak 25 peratus daripada restoran McDonald's di Malaysia dimiliki dan dikendalikan francaisi-francaisi warga tempatan yang diberikan hak pengendalian bagi tempoh masa francais.

"McDonald's bercadang terus membuat pelaburan di Malaysia termasuk dengan membuka lebih banyak restoran baharu bagi menyediakan kemudahan kepada para pengguna," kata ri­salah itu.

Menjawab tohmahan yang dilemparkan berkaitan isu boikot di Internet, McDonald's Malaysia memberitahu, pihaknya tidak menyalurkan sebarang hasil jualan, keuntungan atau royalti daripada restorannya untuk menyokong sebarang konflik politik atau agama mana-mana negara.

"Pembayaran royalti bagi penggunaan jenama adalah perkara lazim dalam dunia perniagaan. Dalam konteks McDonald's Malaysia, royalti merupakan bayaran mendapatkan lesen atau hak menjalankan perniagaan.

"Apa yang penting sebahagian besar pendapatan McDonald's Malaysia iaitu sekitar 90 peratus dikembalikan dalam pelbagai bentuk, contohnya bagi tujuan perbelanjaan perniagaan seperti gaji pekerja, bayaran pembekal tempatan, sewa, naik taraf dan cukai," kata McDonald's.

No comments:

Post a Comment