Friday, July 15, 2016

Rahsia Sate Kajang Hj. Samuri - Utusan Malaysia

Aroma rempah sate yang dibakar enak dapat dihidu ketika melepasi kawasan tersebut. Jika menyebut jenama Sate Kajang Hj. Samuri, pasti tidak ada seorang pun yang tinggal di Lembah Klang belum pernah mencubanya.

Meskipun terdapat pelbagai jenama dan pengusaha sate di Kajang, penangan Sate Kajang Hj. Samuri sukar dilupakan, menyebabkan ramai berulang kali singgah ke restoran dua tingkat itu.

Rasa sate ini sememangnya enak kerana dari segi teksturnya sajian tersebut lebih berempah dari sate yang lain. Lebih terasa apabila mula menggigit daging sate, terasa bahan-bahan perap yang asli. Rasa kuah kacangnya juga sedikit berbeza yang disertakan sambal sebagai penambah perisa.

Apabila menyentuh tentang kaedah pembuatannya, hampir kesemua pengusaha sate popular di Kajang menggunakan cara yang sama, iaitu menggabungkan rasa rempah ratus yang diperap pada sate dan kuah kacang yang menjadi kekuatan kepada hidangan tersebut.

Namun, apa yang membezakan Sate Kajang Hj. Samuri dengan jenama sate lain terletak pada 'kuasa air tangan' pemiliknya yang diwarisi sejak 60 tahun lalu dari pengasas sate Kajang sebenar, iaitu Tasmin Sakiban berasal dari Pekalongan, Indonesia.

Pengasas Sate Kajang Hj. Samuri, Datuk Samuri Juraimi, berkata, beliau mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan sate apabila menumpang di rumah Tasmin, disebabkan sekolahnya, Sekolah Tinggi Kajang, terletak jauh dari rumah ibu bapanya.

"Saya tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Haji Tasmin (panggilannya untuk Tasmin), tetapi ibu saudara saya telah berkahwin dengannya selepas kematian isteri pertamanya. Setiap hari selepas waktu sekolah, hujung minggu dan cuti sekolah saya akan membantunya berniaga sate.

"Sebelum mendapat pekerjaan, saya membantu Haji Tasmin sepenuh masa sehinggalah pada 1965, saya mendapat pekerjaan di pejabat Telekom. Begitu pun, pada waktu lapang saya masih lagi membantunya berniaga sehingga pada 1987 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana Telekom telah diswastakan.

"Walaupun ketika itu Haji Tasmin telah meninggal dunia, saya tetap meneruskan perniagaannya kerana ada antara anak-anaknya yang tidak berminat untuk membuat sate dan mempunyai pekerjaan lain.

"Betapa kuatnya hubungan saya dengan Haji Tasnim, nak dijadikan cerita saya pula berkahwin dengan cucunya, yang merupakan isteri saya sekarang, iaitu Datin Jani Mohd Amir," katanya ketika ditemui di pejabat urusan Sate Kajang Hj. Samuri, Sungai Ramal, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Ketika menguruskan perniagaan sate Tasnim, beliau berjaya membuka tiga gerai sate dan membeli sebuah lagi gerai milik tauke Cina di Medan Sate Kajang dengan tujuan mahu mengembangkan lagi perniagaan.

Namun, berlaku sedikit salah faham dengan anak-anak Tasnim menyebabkan Samuri mengambil keputusan untuk keluar daripada perniagaan tersebut.

Ketika itu katanya, beliau telah membeli sebuah gerai, jadi mahu tidak mahu perlu juga mencari usaha untuk memulakan perniagaan sendiri dengan berbekalkan pengalaman lepas.

"Kebetulan salah seorang anak saya tidak mahu menyambung pelajaran selepas tamat sekolah kerana mahu berniaga sate. Saya terangkan padanya, untuk berniaga sate bukan tak boleh tetapi kedai kita terletak bersebelahan dengan 11 gerai lain yang turut menjual sate. Jadi perlu mencari jalan bagaimana untuk menarik pelanggan.

"Salah satunya adalah dengan membuka cawangan. Walaupun gerai kecil tetapi kita perlu tanamkan motivasi dalam hati bahawa satu hari nanti kita perlu mempunyai 10 buah cawangan untuk menjana keuntungan," katanya yang kini telah mempunyai 22 buah cawangan selepas hampir 25 tahun mengasaskan jenama Sate Kajang Hj. Samuri.

Ketika awal bertapak, beliau melalui kesukaran yang sangat besar kerana kebanyakan pelanggan mencari sate Tasnim di gerainya. Malah ada yang meninggalkan gerai selepas membuat pesanan apabila mengetahui kedai itu bukan kedai milik Tasmin.

Namun, melihatnya dari sudut positif Samuri cuba mengatasi dengan idea-idea lain sebagai pembaharuan untuk memantapkan perniagaan.

Salah satunya adalah dengan mengubah sistem menghidangkan sate mengikut jumlah cucuk yang dipesan, berbanding sebelum ini setiap pinggan telah disiapkan dengan jumlah sate tertentu dan jika tidak dihabiskan boleh dipulangkan semula kepada pemilik kedai.

"Saya pernah mendapat teguran dari Majlis Perbandaran Kajang bahawa cara lama itu tidak memenuhi kriteria penyediaan yang betul. Jadi, saya mengambil peluang tersebut untuk menyajikan sajian sate yang lebih bersih, selamat dan kekal segar.

"Saya juga mencari cara baharu memastikan kepuasan pelanggan dengan memberi kuah kacang dan sambal lebih banyak di dalam mangkuk yang berasingan," katanya.

Jual sate untuk sarapan

Samuri memecah tradisi jualan sate di Medan Sate Kajang dengan membuka gerai seawal pukul 9.30 pagi, berbanding gerai-gerai lain yang mula beroperasi pada waktu tengah hari.

"Saya diperli oleh pesaing-pesaing saya apabila melihat saya membuka gerai pada awal pagi. Mereka kata, hantu mana yang nak makan sate pagi-pagi, tapi saya tak peduli dengan kata-kata mereka," katanya sambil ketawa mengenangkan betapa sukarnya mahu memulakan perniagaan sendiri suatu ketika dahulu.

Waktu itu, beliau hanya akan menutup gerainya pada pukul 3 pagi. Dari situ Samuri melihat adanya sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan yang datang dari serata tempat yang mahu menikmati sate tidak mengira masa.

Sejak itu beliau berpuas hati dan amat gembira dengan sambutan yang diterima, malah ramai pelanggannya datang dari negeri-negeri lain semata-mata untuk menikmati sate Kajang.

Dalam pada itu, untuk mengekalkan rasa sate yang segar dan enak sudah tentu memerlukan proses penyediaan yang mencabar, manakala penjagaannya perlu diberi perhatian kerana bahan utama sate, iaitu ayam atau daging sensitif dan mudah rosak apabila kerap terdedah.

"Dahulu mungkin agak sukar untuk menjaga kualiti sate yang dibuat, namun seiring dengan perkembangan teknologi, saya menitikberatkan prosedur penyediaan yang lebih efisien.

"Sate yang dihantar ke cawangan akan dihantar menggunakan trak yang mempunyai bilik sejuk bagi menjamin kesegaran setiap cucuk dan kuah kacang," katanya yang kini dibantu oleh kesemua anak dan menantu.

Beliau turut mengambil inisiatif membuka sebuah kilang bagi memastikan bekalan sate sentiasa mencukupi di setiap cawangan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Setiap hari, kilang tersebut membekalkan kira-kira 300,000 cucuk sate untuk dihantar ke setiap cawangan termasuk, kafe mobil, hotel, dan katering.

Kini, Samuri mempunyai tenaga kerja hampir 700 orang bagi menyiapkan setiap proses pembuatan sate bermula dari proses mencampur ramuan, mencucuk sate, membakar dan melayan pelanggan di setiap cawangan.

Aidilfitri tidak menang tangan

Meskipun masih belum memasuki pasaran global walaupun mempunyai permintaan, Sate Kajang Hj. Samuri tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara bagi mengubat kerinduan kepada juadah tradisi itu.

Menurut Samuri, pada setiap tahun satenya pasti menjadi juadah tetap di kedutaan-kedutaan Malaysia khususnya pada hari raya dan Hari Kemerdekaan, selain turut menjadi pilihan istana, dan orang-orang kenamaan.

Sama seperti tahun-tahun terdahulu, setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri, beliau tidak menang tangan menerima tempahan sebagai juadah hari raya mahupun rumah terbuka.

Jika dahulu agak sukar untuk memenuhi tempahan yang begitu banyak, kini tempahan saat akhir juga diterima kerana menggunakan khidmat pekerja warga asing yang tidak bercuti raya.

Tidak gentar dengan kemunculan pelbagai makanan moden yang dibawa oleh generasi muda, baginya sate tetap dicari orang kerana sudah menjadi makanan tradisi yang tidak mungkin boleh dilupakan. Dalam kalangan pelancong luar pula, sate sudah dianggap sebagai makanan yang wajib dicuba jika berkunjung ke Malaysia.

Mengenai persaingan, beliau menerima dengan hati terbuka wujudnya pesaing-pesaing lain yang turut popular dengan jenama sate mereka.

Baginya, masing-masing mempunyai peminat tersendiri, malah beliau sendiri tidak dapat memberitahu apa istimewanya Sate Kajang Hj. Samuri, namun tahu usahanya dalam perniagaan sejak dahulu lagi membawa kejayaan sehingga ke tahap ini.

Ditanya sehingga bila akan meneruskan perniagaan sate, beliau mengakui, akan mewariskan kepada anak-anaknya, malah sekarang pun sebahagian besarnya telah dikendalikan oleh generasi kedua keluarganya.

Menjadi harapannya untuk melihat perniagaan tersebut akan diteruskan sampai bila-bila.

"Selagi saya tidak muak dengan sate saya, selagi itulah saya tahu adanya kelangsungan jenama Sate Kajang Hj. Samuri," katanya.

No comments:

Post a Comment