Wednesday, July 13, 2016

Ipoh dikenali sebagai bandar Hipster - Kosmo!

Ipoh dikenali sebagai bandar Hipster

Oleh SITI HAJAR MOHD SALLEH

Mural bertajuk Old Uncle With White Coffee menghiasai dinding sebuah bangunan berdekatan Padang Ipoh.

SEBAIK mendengar perkataan Hipster, pasti ramai orang yang menganggap ia sebagai budaya remaja masa kini yang sukar difahami kerana gaya hidup golongan itu berbeza daripada kebiasaan.

Hipsterism bukan sahaja berbeza dari segi pemikiran tetapi fesyen, genre muzik dan cita rasa seni.

Budaya yang kian popular sejak 2010 itu menjadi kegilaan ramai remaja dan trend itu berjaya dijadikan satu tarikan pelancong khususnya di bandar raya Ipoh.

Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan Ipoh sebagai Hipster Town selepas berbangga dengan kejayaan anak muda membangunkan perniagaan sendiri yang turut mendapat pengiktirafan daripada media tempatan dan luar negara.

"Saya bangga dengan usaha dan kejayaan mereka dalam membangunkan konsep ini di Ipoh, sedar atau tidak Ipoh kini menjadi bandar Hipster di Malaysia sehinggakan ada majalah serta surat khabar menceritakan tentang kejayaan bandar raya Ipoh," katanya.

Zambry berkata, untuk menubuhkan kedai-kedai yang berkonsepkan Hipster, ia tidak memerlukan barangan mewah sebaliknya hanya menggunakan barang lama atau terpakai untuk menghiasi premis mereka.

"Mereka tidak memerlukan kedai besar atau cantik, malah lebih lama bangunan itu lebih berharga bagi mereka," katanya.

Keunikan itu dapat dilihat menerusi pelbagai perniagaan yang wujud seperti cendawan tumbuh lepas hujan di kawasan itu termasuk kafe, hotel butik, seni jalanan, kedai barangan antik serta kedai gunting rambut yang menonjolkan budaya Hipster.

Antara nama kedai iaitu Plan B, Thumbs Cafe, Konda Kondi, M. Boutique Hotel, Pasar Karat (setiap Ahad), Eroll Barbershop dan O'oi & Comrades.

Malah, seniman terkenal Allahyarhamah Yasmin Ahmad sering memilih Ipoh sebagai lokasi untuk penggambaran hasil karyanya seperti filem Sepet, Gubra dan Muallaf. Sebuah muzium juga dibuka di Jalan Sultan Yusuf bagi mempamerkan hasil-hasil seni beliau.

Eroll Barber Shop menjadi pilihan belia untuk mendapatkan gaya rambut ala hipster.

Selain itu, pelukis Ernest Zacharevis turut memilih Ipoh sebagai satu daripada lokasi bagi mempersembahkan gaya lukisan 3 dimensinya yang boleh dihayati di lorong-lorong kecil sekitar Jalan Bandar Timah dan Jalan Tun Sambanthan.

Melihat gaya Hipster yang kian mendapat sambutan di bandar ini, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zambri Man berhasrat untuk mengetengahkan konsep Hipster di kawasan People's Park di Jalan Sultan Iskandar.

"Dalam masa empat hingga lima bulan ini, kita akan mengindah dan mencantikkan kembali kawasan ini terutamanya pada waktu malam dengan memasang lampu di laluan pejalan kaki yang terletak di sebelah Sungai Kinta dari People's Park hingga ke Taman Dr. Seenivasagam (Taman Dr.)," katanya.

Mural

Selain itu, katanya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga bekerjasama dengan pelajar dan pensyarah Universiti Teknologi Mara untuk melukis mural bagi mencantikkan kawasan itu supaya menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong dan riadah untuk masyarakat di sini.

Zambri berkata, setakat ini pihaknya telah membaik pulih 70 peratus People's Park termasuk membuang pondok lama dan pokok-pokok mati.

"Saya bersama Menteri Besar telah meninjau selama dua jam setengah dan kita juga merancang untuk membuat laluan berbasikal dari People's Park ke Taman Dr.," katanya.

Selain itu, Zambri berkata, pihaknya masih dalam perbincangan untuk menempatkan peniaga-peniaga food truck di People's Park yang majoritinya dilaksanakan oleh golongan muda.

"Ini salah satu tempat yang kita fikirkan untuk memberi peluang kepada mereka berniaga, saya dah minta pegawai mengkaji dan menilai kesesuaiannya," katanya.

Apabila siap sepenuhnya, kawasan itu bakal menjadi lokasi untuk orang ramai beriadah sambil berhibur kerana MBI telah bekerjasama dengan Jabatan Kesenian negeri mengadakan persembahan pada setiap hujung minggu. – Bernama

No comments:

Post a Comment