Friday, July 1, 2016

Wan Nadzmi Fikri pelapis sukan boling negara - Berita Harian

WAN Nadzmi Fikri.

SHAH ALAM: Beliau adalah satu-satunya pemain boling yang memenangi permainan sempurna 300 pada peringkat akhir Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Singapura ke-48, awal bulan ini.

Susulan kejayaan itu, Wan Nadzmi Fikri Mohd Faisal, tidak menoleh lagi apabila terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Boling Remaja Dunia ke-14 di Nebraska, Amerika Syarikat, bulan depan.

Beliau antara empat pemain yang dipilih mewakili negara bagi kategori lelaki dalam kejohanan yang berlangsung dari 24 Julai hingga 3 Ogos itu.

Mereka adalah jaguh boling negara, Muhd Rafiq Ismail, Qalif Adnor Adam dan Tun Ameerul Luqman Al-Hakim.

Bercakap kepada Bernama, baru-baru ini, pemain berusia 20 tahun itu berkata, minat yang mendalam mendorongnya menyertai sukan boling ketika berusia 11 tahun dan beliau sangat beruntung kerana mendapat sokongan cukup kuat daripada ibunya, Raja Mahami Raja Harun serta bapa, Mohd Faisal Ismail.

"Mummy adalah sumber kekuatan saya. Ketika usia saya 11 tahun, mummy selalu bawa saya berlatih dan sanggup carikan saya jurulatih peribadi sehingga akhirnya saya berjaya menyertai Sukan Teras Selangor Boling.

"Daddy juga dorong saya untuk pergi lebih jauh dalam sukan ini dan meletakkan sasaran untuk saya wakili Malaysia," kata anak sulung dua beradik itu.

Wan Nadzmi Fikri mendapat latihan awal daripada Hussien Omar dan hasil bimbingan jurulatih berpengalaman itu membolehkan beliau mencatat kejayaan pertama sebagai juara 'Boys Graded' di International Junior All Star di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, pada 2010.

Hasil kemenangan itu, katanya, membolehkan beliau menyertai pasukan khas yang ditubuhkan oleh jurulatih elit negara, Holloway Chea, selama dua tahun sebelum diserap sebagai pelapis kebangsaan.

"Pada 2015, saya tidak berjaya kekal dalam pasukan itu kerana tiada pencapaian. Kami perlu mencapai sekurang-kurangnya kedudukan tiga terbaik dalam mana-mana kejohanan setiap tahun. Saya kemudian dilatih semula oleh Hussien.

"Pada tahun ini, saya berjaya diterima semula ke dalam pasukan pelapis yang kini dilatih oleh Ketua Jurulatih, Purvis Granger, dibantu oleh bekas pemain kebangsaan, Wendy Chai dan Azidi Ameran.

"Hasil tunjuk ajar mereka dan semangat yang tinggi, akhirnya saya berjaya mengakhiri kemarau kemenangan dengan menduduki tempat kedua di 48th Singapore International Open dan ia lebih manis lagi dengan kejayaan memperoleh perfect game pada game ketiga pertandingan akhir kejohanan itu," katanya.

Ditanya sasarannya dalam sukan boling, penuntut tahun kedua jurusan perniagaan, American Degree Transfer Program di Universiti Sunway itu menanam keazaman untuk menyertai pasukan elit negara satu hari nanti.

Wan Nadzmi Fikri turut menjadikan pemain boling profesional dari Amerika Syarikat, Tommy Jones dan Muhd Rafiq, yang juga sahabat baiknya sebagai idola.

Untuk rekod, pada Kejohanan Boling Remaja Dunia 2014 di Hong Kong, Malaysia mendapat pingat perak dalam acara berpasukan lelaki dan Muhd Rafiq menduduki tempat keempat dalam acara Perseorangan Keseluruhan Pusingan Lelaki. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment