Di sini aku ingin mempertengahkan pandanganku tentang santau angin. Isteriku juga pernah bertanya “apakah aku percaya atau tidak dengan santau angin?”.
Aku anak kampong yang dilahirkan dalam masyarakat yang banyak menggunakan perkhidmatan “bomoh”. Mungkin anda sekelian tidak mengetahui tentang “racak” yang di hanyutkan ke sungai atau ke Laut atau mungkin anda sekelian tidak pernah tahu tentang “kayu pasong hantu” yang diletakan dirumah dengan pelbagai kepercayaan. Mungkin anda semua juga tidak mengetahui tentang “tahi besi” bagi menghalau Jin dan sebagainya. Semua yang aku katakan diatas pernah kulalui di zaman kecilku.
Aku juga ingin menambah sikit lagi maklumat tentang keluargaku yang mempunyai pantang larang dalam kehidupan. Di rumah tidak boleh membuat buah Melaka(perlis) dan kalau dibuat juga walaupun sembunyi-sembunyi semua ahli keluarga akan demam. Di kampungku (tempat tapak madrasah) juga tidak pernah berlaku sebarang kecurian kerana dikatakan mempunyai penunggu dan perkataan yang sering disebut iaitu “sahabat”.
Sejak kecil ayahku memang sedia sakit, datokku akan datang berikhtiar dengan pelbagai cara. Waktu malam aku sering mendengar derapan kaki orang berjalan diatas bumbung rumah dan juga di atas bumi. Kadangkala rasa takut dan kadangkala tak rasa apa-apa.
Kedatangan “Shiekh Ismail(sama nama) ,tuan guru dari Mekah telah mengubah kehidupan kami keseluruhannya. Kami di kenalkan dengan rupa tauhid yang sebenarnya. Pak long Mat pertama kali menerima kefahaman ini lantas membakar semua buku-buku perubatan datok yang bercampur mistik. Aku yang belajar dengan pak Long Mat juga meyakini bahawa beliau memilih jalan pengubatan yang benar. Kami yakin pada Allah dengan sepenuh hati dan tidak ada tapi-tapi lagi.
Pak long yang digelar sebagai “Mat licin” dikatakan memiliki ilmu kebal (pernah ditembak dari jarak dekat dan terbukti) menyatakan “kita perlu keluar dari jahiliah kepada muslim yang sebenarnya”. Dia benar-benar bertaubat dan aku lihat Allah mengurniakan” ilmu yakin” padanya. Keyakinannya tinggi melebihi dari kebanyakan guru ugama yang pernah aku temui. Dia sanggup berhadapan dengan siapa juga manusia yang kononnya memiliki ilmu dunia yang tinggi demi menegakkan kebenaran dan membenteras syirik. Apa yang aku lihat biasanya orang yang dikatakan kerasukan jin akan hilang bila sampai bertemu dengannya.
Ilmu-ilmu mistik sebenarnya kian hilang dalam masyarakat Malaysia tetapi kini tiba-tiba ia muncul semula dengan arus yang lebih hebat. Inilah pengaruh filem yang aku lihat 10 tahun dahulu di Indonesia. Alangkah jauhnya saudara-saudaraku yang masih lagi berada dalam alam mistik lagi syirik,perasangka jahat pada setiap orang dan percaya dengan kata-kata orang samada bomoh ataupun ustaz.
Pak Long sangat marah jika dikatakan buatan orang! Aku juga tak lah macam pak Long sangat tapi geram juga bila penyakit selalunya dikaitkan dengan orang. Pak Long kata “ biar kita mati sekali-kali jangan bersyirik pada Allah” dan aku pegang kata-kata itu kerana itulah yang diajar oleh Nabi saw.
Di sinilah perubatan Jawi berpisah dengan pengubatan Islam yang lain kerana Kami tidak akan menyabitkan penyakit dengan saka,santau angin, buatan orang dan lain-lain lagi kerana kami sangat yakin bahawa kesemuanya itu berlaku dengan izin Allah.
Sakit itu sebab dosa kita sendiri(penghapus dosa) kenapa pula dikaitkan pada orang lain. Santau angin adalah ulser perut dan akhirnya menyebabkan muntah darah. Mereka berkata kalau ada ulser kenapa tak dapat dilihat oleh doctor? Inilah yang hujah para pengamal perubatan batin lagi batil. Tidak lihat bukan bererti tak ujud kerana pengalamanku dalam dunia perawatan ,penyakit pada tahap awal kebiasaannya tak dapat dikesan. Doktor hanya dapat mengesannya pada peringkat penyakit sudah jadi 80% dalam badan. Barulah dikenali sebagai kanser,barah,darah tinggi dan lain-lain lagi.
Aku ingin menyatakan ada satu istilah yang lebih mudah difahami iaitu “fobia”. Fobia ini adalah penyakit ,orang yang sudah kurus merasa dirinya sangat gemok.Orang yang tidak sakit merasakan dirinya sakit, kerana apa? Kerana mindset (otak bawah sedar) telah merakam perkataan bomoh yang menyatakan ia disantau. Dia akan sakit buat selama-lamanya jika tidak ada orang yang mampu menyampaikan tentang ilmu tauhid padanya. Lebih-lebih lagi fobia ini akan menjadi darah daging sekiranya ia percaya 100% pada bomoh atau ustaz yang suka meramal.
Dengan Nama Allah, ramai mereka yang berada dalam situasi ini(fobia) telah sembuh setelah bergabung dengan HPA dan mengikuti perubatan Jawi. Kita bukan menyediakan air penawar untuk mereka tetapi yang kita berikan ialah aqidah yang sebenar bagaimana mempertuhankan Allah sebagai Rab dan Ilah yang disembah dan tempat meminta.
Hari ini kami tidak lagi demam bila membuat kuih “buah Melaka” malah perlu membuat banyak sebab keluarga menjadi semakin ramai. Ibuku akan tersenyum bila aku cerita hal ini pada kalian dan itulah yang aku harapkan dari sebuah perjuangan agar menjadi ibadah yang diterima oleh Allah. Amin.
No comments:
Post a Comment